Saturday, 5 December 2015

Semua negeri digesa haram vape – Persatuan Pengguna

Gambar hiasan
GEORGETOWN – Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), S M Mohamed Idris menggesa semua negeri mengharamkan vape.
“CAP amat kesal apabila Kabinet mengambil keputusan untuk mengawal penggunaan vape dan bukan mengharamkannya.
“Perbezaan pandangan antara menteri boleh menyebabkan lebih banyak masalah sosial. Bagaimanapun, di peringkat negeri, kerajaan negeri boleh mengambil langkah sendiri untuk mengharamkannya seperti yang dilakukan di Johor,” katanya kepada media di sini semalam.
Katanya, 14 negara sudah mengharamkan penggunaan vape, namun Malaysia masih mahu menunggu bukti saintifik dan kajian.
Menurutnya, golongan muda di negeri ini sudah terjebak dengan pelbagai gejala sosial antaranya ketagihan alkohol, perjudian, penagihan dadah dan merokok.
“Selain vape dan e-rokok yang dilihat perosak belia, shisha juga tidak terkecuali. Tinjauan CAP mendapati, kanak-kanak berusia lapan tahun sudah mula menghisap shisha jenis hookah elektronik berkonsep pakai buang.
“Shisha ini dijual dengan harga RM15 dan bertahan hingga 500 sedutan. Ia didapati dalam pelbagai perisa antaranya buah-buahan,” katanya.
Mohamed berkata, shisha mengandungi bahan kimia Fomaldehid yang boleh mengakibatkan rengsaan pada mata, hidung dan  juga kerongkong.
Lebih mengejutkan, seorang pelajar perempuan dari sekolah rendah di Tanjung Tokong ditangkap kerana menjual shisha kepada pelajar lain dua minggu lalu.
“Menurut guru di sekolah berkenaan, pelajar itu membelanjakan RM15 seminggu untuk membeli shisha. Ini yang menakutkan kita kerana ia sudah meresapi golongan muda,” katanya.
Beliau berkata, penghisap vape membelanjakan sekitar RM340 sebulan untuk membeli cecair yang diletakkan di dalam alat berkenaan.
Ini tidak termasuk harga untuk peralatan yang mungkin sekitar RM500. Vape dilihat menjadi trend terbaharu dalam kalangan pelajar berbanding rokok kerana ia menggunakan pelbagai perisa.
“Lebih membimbangkan,  pelajar dan wanita berkerjaya juga mula menggunakan peralatan ini. Ada juga rungutan dari guru mengatakan sesetengah pelajar sanggup bekerja separuh masa untuk membeli peralatan ini manakala sesetengahnya pula berbohong kepada ibu bapa bagi mendapatkan wang untuk membelinya,” katanya.
Mohamed menunjukkan vape yang membahayakan kesihatan pengguna kerana mengandungi bahan kimia
Selain itu, peralatan shisha tidak mempunyai sebarang label iaitu tiada maklumat untuk melihat pengeluar, negara asal dan ramuannya.
Memandangkan shisha tidak diharamkan, maka ia dengan mudah boleh dibeli di tempat awam, pasar raya dan pasar malam.
“Jika kerajaan terus mengambil sikap tidak peduli dalam isu ini, lebih ramai golongan muda akan menggunakan  e-rokok, shisha dan vape.
“Tidak mengejutkan jika selepas ini negara kita mempunyai lebih ramai penagih dadah di masa hadapan kerana benih bagi penagihan dadah sudah disemai melalui pengenalan e-rokok, shisha dan vape,” katanya. -sh

Bot Bawa 8 Pekerja Pulau Redang Terbalik Dipukul Ombak

PEKERJA menolong mengeluarkan bot yang terbalik dekat muara Kuala Merang, semalam. -
PEKERJA menolong mengeluarkan bot yang terbalik dekat muara Kuala Merang, semalam. –
Setiu: Lapan pekerja Pulau Redang dan pemandu bot terselamat apabila bot pelancong dinaiki mereka terbalik dipukul ombak dalam kejadian berhampiran muara Kuala Merang, di sini, semalam.
Difahamkan, penumpang bot terdiri daripada lima rakyat tempatan termasuk pemandu bot dan selebihnya warga asing.
Insiden jam 4 petang itu berlaku ketika bot dalam perjalanan dari Pulau Redang Jeti Kuala Merang, di sini.
Pemandu bot, Yem Mohamed, 47, berkata, kejadian berlaku secara tiba-tiba apabila dia tidak sempat mengelak ombak yang menggulung.
“Bot tidak dapat meluncur laju ketika itu menyebabkan saya mengangkat enjin kerana menyangkakan berada di kawasan laluan air cetek.
“Jika diikutkan, ketika kejadian cuaca di kawasan itu berada dalam keadaan baik, ombak tidak kuat dan saya pernah berdepan dengan gelombang lebih besar,” katanya ketika ditemui di Jeti Kuala Merang, di sini, semalam.
Dia yang hampir 10 tahun menjadi pemandu bot berkata, mereka diselamatkan nelayan tempatan yang melalui kawasan berkenaan.
“Nasib baik kami semua memakai jaket keselamatan dan tidak cedera, cuma kepala saya sakit kerana terhantuk pada bumbung kanvas bot.
“Selama menjadi pemandu bot, ini kali pertama saya berdepan kejadian seumpama itu. Selepas ini saya akan lebih berhati-hati,” katanya.
Sementara itu, jurucakap bomba berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian terbabit pada jam 4.53 petang.
Menurutnya, sepasukan tujuh pegawai dan anggota yang tiba di lokasi kejadian dimaklumkan semua mangsa diselamatkan nelayan tempatan-hmetro