Malah, walaupun 33 lagi syarat tambahan dikemukakan oleh Hasmiza atau lebih dikenali sebagai Dr. Vida semalam, namun Kafa tiada masalah untuk mempersetujui semua syarat berkenaan dan perjanjian rasmi akan dimeterai pada 15 Januari ini.
Presiden Kafa, Tan Sri Annuar Musa berkata, pelantikan Dr. Vida sebagai Penasihat Kehormat dibuat kerana beliau mempunyai banyak perancangan dan idea yang boleh digunakan untuk membantu memajukan bola sepak Kelantan, terutama dari segi pemasaran.
Bagaimanapun, Annuar mahu pun Dr. Vida enggan mendedahkan jumlah sebenar penajaan yang mencuri perhatian peminat bola sepak tanah air itu, sebaliknya berkata, semua akan diumumkan pada 15 Januari nanti.
Walaupun Kafa sebelum ini meminta tajaan RM16 juta untuk tempoh dua musim, namun Dr. Vida pernah memberitahu, jumlah keseluruhan penajaan mencecah puluhan juta, termasuk kos baik pulih Stadium Sultan Muhammad IV yang bakal berwajah baharu.
“Selepas ini Dr. Vida akan terlibat dengan segala urusan serta rancangan memajukan bola sepak Kelantan secara langsung kerana beliau kini bukan lagi orang luar tetapi sudah menjadi orang dalam pasukan.
“Tujuan pelantikan Dr. Vida ini juga adalah kerana sebagai seorang usahawan, beliau memiliki idea serta pandangan yang sudah pasti dapat membantu memajukan lagi bola sepak Kelantan,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan mesyuarat lebih dua jam dengan Dr. Vida, di sini semalam.
Dalam sesi perbincangan itu pelbagai perkara sudah dipersetujui termasuk penukaran nama pasukan kepada Pamoga Qu Puteh The Red Warriors.
Annuar memberitahu, perbincangan yang berlangsung semalam melibatkan pelbagai perkara, termasuk perkara berkaitan kontrak, peraturan yang ditetapkan Persatuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) dan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).
“Perbincangan ini antara lain lebih kepada memberikan penjelasan kepada Dr. Vida mengenai perkara-perkara berkaitan.
“Kami juga sangat gembira apabila berjaya mencapai satu persefahaman yang sangat unik dan perkara ini akan diselesaikan secara rasmi pada minggu hadapan,” katanya lagi.